Calendar


SEMOGA HARI - HARI MENDATANG LEBIH BERMAKNA DALAM HIDUP KITA

Sunday, October 30, 2011

lupa password

Gara-gara terlupa password ditambahkan pula dgn kesibukan tugas menyebabkan blogku ini terbiar sepi. Ermm member kata usia meningkat remaja ni memang camni lah...(nada perlilah tu!) Haha tak kisahlah.

Hari ni..yeahhh i'm free~ bebanan kerja sepanjang tahun ini beransur kurang. Apa lagi ye..pagi-pagi lagi kumulalah menatap blog ku semula. Senang aja password yg dah lupa tu,ku resetkan semulalah. Well now..i'm back. Ok2 nantikanlah celotehku ini selepas ini ye..



Friday, July 22, 2011

PUSAT KONSERVASI GAJAH KEBANGSAAN KUALA GANDAH, PAHANG.

Mata mengantuk, badan letih tapi puas terbaring, pusing sana dan pusing sini,tidak juga boleh tidur. Bila pejam saja mata, pasti wajah arwah anak saudaraku yg terlantar di katil hospital ketika hayatnya terbayang olehku. Agaknya macam manalah situasi adik iparku dan birasku. Ya Allah berilah diriku kekuatan dan semangat yang kuat untuk menangkis kesedihan ini.

Gara-gara tidak boleh melelapkan mata dan untuk menghilangkan keresahan...lantas kubuka blog ku ini dan tetiba ku terbaca blog Izyanti mengenai gajah. Owh~ Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. Amboi! tak sangka orang Penangpun lepas ke sini juga rupanya manakala aku pula.. Weiii esok lawatan ke sini jugalah. Ermm best juga rupanya tempat ni.

Esok 23 Julai 2011 , badan pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber sekolah akan mengadakan lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dengan menaiki 2 buas bas. Aku hampir-hampir lupa akan lawatan ini. Hendaknya esok aku dapat melapangkan fikiran dan melupakan seketika fikiranku yang bercelaru ini.

Eh..esok pukul berapa bertolak & pukul berapa balik ye?
Owhh~ out!! Grrrr ke manakah fikiranku melayang dua tiga hari ni...


Thursday, July 21, 2011

Pemergian buat selama-lamanya.

Agak terlalu lama aku tidak melayari blogku ini. Komitment tugas utk melahirkan anak didik yg cemerlang membatas waktu untukku mencoret sesuatu di blogku ini. Banyak masa terluangku dipenuhi dengan membina 'powerpoint' utk memantapkan proses P & P untuk anak didikku.

Hari ini tanggal 21 Julai...tetiba tergerak hatiku utk meluahkan sesuatu di sini. Ye selama ini pun... blog yg ku bina ini adalah medan untukku meluahkan rasa isi hatiku.

Sekembalinya dari sekolah. ku rasa serba tak kena. Ingatan terhadap arwah anak saudaraku kian menebal. Manakan tidaknya..hampir setahun lebih kami tidak berjumpa. Selama tempoh ini kami hanya berhubung melalui 'yahoo messenger' dan FB sahaja. Kekangan waktu membataskan kami untuk berjumpa. Farhah Fakhira, anak saudaraku sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun ini...manakala aku pula sibuk dengan tugasku sebagai seorang guru. Apabila dia balik bercuti ke kampung (KUala Rompin), kebetulan aku pula berada di Melaka ataupun Seremban. Andainya di Kuantan pasti suamiku akan ajak balik ke kuala Rompin.

Tiga minggu yang lepas, apabila dimaklumkan mereka balik ke kampung, aku dan suamipun turut balik sama. Malangnya, cuma 3 beranak saja yang balik iaitu adik iparku bersama isteri dan anak sulongnya yg kebetulan baru balik bercuti dari Australia. Farhah tidak balik bersama kerana dia ada program di sekolah. Hanya baju-bajunya saja yang ibunya bawa untuk dibasuh. Anak saudaraku ini belajar di SBP~Sekolah Sains Sultan Iskandar, Mersing manakala ibubapanya pula duduk di Pasir Gudang. Bayangkan... susahnyalah untuk kami bertemu dan kini pastinya kami tidak akan ketemu lagi buat selama-lamanya. Hati mana yang tidak sedih. Perginya sepantas kilat.

Pada tarikh 14 Julai, aku menerima panggilan telefon. Aku terkedu seketika. Air mata tetiba berjujuran. Aku menerima perkhabaran bahawa birasku bersama 2 orang anaknya kemalangan. Mulanya aku menerima berita, si ibu luka bahagian muka akibat terkena serpihan kaca, Si anak sulong selaku pemandu kereta, patah tulang bahagian bahu & seoarang lagi tidak sedarkan diri. Kejadian berlaku jam 11.30 a.m dan aku dimaklumkan lewat petang.

Adik beradik belah suamiku berpakat menziarahinya pada keesokan harinya tapi aku tidak dapat turut serta kerana menunggu kepulangan anak bongsuku dari Melaka selain suamiku tidak boleh mengambil cuti. Aku dan suami hanya menunggu perkembangan selanjutnya daripada adik beradik yang telah pergi ke sana.

Hari Jumaat malam, baru ku menerima berita bahawa anak sulong birasku tidak mengalami apa-apa kecederaanpun. Syukur alhamdulillah cuma yang seorang lagi masih tidak sedarkan diri. Dimaklumkan terdapat pendarahan dalam otak dan juga perut. Keesokannya pula baharu dikesan tanga kiri anak saudaraku yang masih tidak sedarkan diri itu patah pula.

Ya Allah.. aku hanya berdoa dari jauh semoga Allah selamatkanlah dan lindungilah anak saudaraku Farhah. Hakikatnya orang lain semua yang di sana telah tahu peluang yang ada hanya 70-30 dan bukannya 50-50. Hanya aku dan suamiku saja yang tidak tahu apa-apa.

Untuk menghilangkan kerisauan dan melepas rinduku terhadap anak saudaraku, kubuka wall Fb nya. Kulihat album-album photonya tapi malangnya tidak banyak gambar2nya. Kesemua albumnya hanya dipenuhi dengan gambar-gambar rakannya lalu kulayari blognya pula. Rupanya pada tarikh kemalangan yang berlaku jam 11.30a.m, Farhah sempat mencoret sesuatu buat rakannya pada jam 11.05 a.m.

Melalui blognya dapat kurasakan seolah2 Farhah telah tahu akan pemergiannya buat selama-lamanya.
Aku jua dapat rasakan itu...lantas ku suruh suamiku mohon cuti namun suamiku memang tidak boleh cuti hinggalah pada hari Selasa 19 Julai, suamiku sendiri sent msg padaku memberitahu keadaan Farhah semakin kritikal. Akhirnya..hari Rabu selepas subuh aku bergegas ke Johor Baharu dan kutitipkan doa agar Allah mengizinkan aku jumpa Farhah biarpun untuk seketika.

Setibanya di hospital, hanya Allah yang tahu akan perasaanku. Aku memang fobia untuk menjejakkan kaki ke hospital. Macam-macam perasaan yang timbul. Langkah ku longlai namun kugagahi jua. ku sekat sedaya airmata jangan tumpah membasahi tubuh Farhah namun ku gagal. Kuusap dan kucium dahinya serta kubisik sesuatu ditelinganya moga Farhah mendengarnya dan tahu bahawa maklongnya datang jua melawatnya.

Ketika kupegang tangan dan kakinya, masih kurasakan kehangatannya tapi kemudian...adik iparku menunjukkan bacaan degupan jantungnya kian rendah. Ku sebak lalu ku keluar dari bilik ICU itu. kemudian doktor memanggil semua ahli keluarga masuk ke dalam dan dimaklumkan bahawa Farhah hanya dapat bertahan setakat pukul 2 petang atau selewat-lewatnya jam 8.00 malam. Aku redha kerana itulah janji yang kupohon..andai Allah ingin mancabut nyawanya biarlah aku bersama ahli keluargaku sempat melihatnya dulu dan lebih kurang jam 10.00 malam~Farhah pergi buat selamanya.

Farhah..maklong amat terasa akan ketiadaan Farhah, Maklong tidak akan dpt melihat farhah on9 lg. Mujur blog Farhah ada untuk maklong tatapi.

Semoga Farhah tenang bersemadi di sana. Al~Fatihah!!


Friday, April 8, 2011

X-Ray

X-ray? Ramai yang tertanya-tanya, kenapa diriku perlu di x-ray. Uishh takkan terguris luka sampai perlu di x-ray pula kan. Haha...tak masuk akal langsung!!

Semalam aku pergi ke klinik untuk membuat medical checkup dan seterusnya perlu menjalani x-ray gara-gara untuk memastikan diriku sihat untuk menerima surat perlantikan sebagai guru siswazah. Itu sahaja sebabnya dan takde sebab yang lain. Kalau bukan kerana ini takkan ku saja-saja menyerahkan diri untuk menjalani pemeriksaan di klinik.

Pemeriksaan semalam, membuatkan aku semakin tak suka untuk ke klinik. Ingatkan di klinik swasta segala-galanya berjalan lancar tapi anggapan ku meleset. Bermula dari jam 2.00 aku di klinik yang lengang tanpa pesakit, jam 4.45 baru urusan ku selesai. Serik rasanya aku hendak ke klinik ini lagi. Charge yang dikenakan adalah tidak setimpal dengan layanan yang diberikan.' Lambat macam kura-kura'

Kemudian aku bergegas ke tempat pesuruhjaya sumpah yang akan tutup pada pukul 5.00 pm. Mujurlah suamiku ada di sisi menjadi penguat semangatku. Tepat jam 5.00 aku sampai di sana dan fuhh...lega... pejabatnya belum tutup dan akhirnya selesailah tandatangan akuan bersumpahku di hadapan pesuruhjaya sumpah.

Dulunya semasa mula-mula untuk menerima tawaran menjadi guru, urusan medical checkup seumpama ini telahpun kulalui dan ku sangkakan itulah kali pertama dan terakhir ku tempohi situasi begini tapi rupa-rupanya tidak. Pada usia hampir mencecah setengah abad inipun, aku terpaksa ulangi perkara yang sama. Terasa macam diriku ini baru mula-mula nak posting pula. Patutkah?


Tuesday, April 5, 2011

Kembali Ceria!!

Hampir seminggu merawat hati yang terguris luka barulah hari ini kurasakan lukaku makin sembuh. Harap2nya biarlah sembuh tanpa meninggalkan parut.

Bagi yang tidak mengerti memang beranggapan apa yang berlaku cuma perkara kecil sahaja tetapi bagi yang mengalaminya memang terasa satu tamparan hebat.

Selepas kejadian memang aku tidak bersemangat untuk ke sekolah. Bila emosi terganggu memang akan melibatkan mental dan fizikalku menjadi lemah. Biarpun ada anak didik yang berusaha untuk menarik perhatianku kembali tapi kurasa hambar. Salah seorang muridku Iqmal Izzudin berusaha meng'upload' lagu P.Ramlee~ 'Maafkan kami' dan dipamerkan pada statusnya dalam FB untuk ditujukan khas buatku. Apabila ku membacanya, memang kurasa terharu atas inisiatifnya tetapi ku balas dengan kata-kata~' maaf memang boleh dimaafkan tetapi yang terluka pasti lambat sembuhnya.'

Kemudian bila ku membuka blogku ini, kudapati ada lagi seorang anak didikku memberi komen pada catatan terguris luka. Ku baca komen tersebut dan sekali lagi airmataku mengalir. Kenapa ye? Kenapa setelah melukai hati cikgu baru kalian ingin merayu dan memohon simpati dari cikgu? Ikutkan hati memang ingin sahaja aku berpatah arang dengan mereka.

Namun hari ini, diriku kembali ceria. Mungkin kepulangan anak yang bercuti selama seminggu di rumah membuatkan aku boleh melupakan apa yang telah berlaku. Semalam ketika aku bersama anak bongsuku ingin keluar ke bandar selepas solat asar, aku telah didatangi oleh 12 orang anak didiku. Aku memang terperanjat sebab ketika itu aku sedang mengunci pintu pagar rumahku dan anakku telah berada di dalam kereta.

Bagaimanapun kehadiran mereka kusambut jua. Rupa-rupanya mereka datang untuk meminta bantuanku mengajar mereka akan soalan yang mereka tidak dapat selesaikan. Aku pun membaca soalan yang ditunjukkan dan membantu mereka biarpun dalam keadaan berdiri. Ketika mengajar aku dikerumuni oleh mereka. Selepas itu aku meminta maaf sebab anakku telah lama menanti di dalam kereta.

Aku ingin mengajak mereka naik kereta bersama tetapi disebabkan keretaku tidak muat untuk menampung 12 orang lalu mereka sepakat untuk berjalan kaki sahaja menuju ke sekolah. Apabila aku telah berada di dalam kereta, perasaan kasihan menyelubungi diriku. Ku rasa ralat tidak menjemput mereka masuk ke dalam rumah lalu apabila keretaku menghampiri mereka ,kuarahkan anakku berhenti sekejap. Ku keluar daripada kereta dan menghulurkan sedikit wang buat mereka untuk membeli air minuman dan pisang goreng yang ada di jual dekat warong di tepi pagar sekolahku. Itulah aku. Aku bukan pendendam dan sesungguhnya jiwaku adalah jiwa penyayang.

Hari ini di sekolah. aku telah boleh senyum kembali. Aku tidak bertanyapun akan latihan pada hari semalam tetapi kali ini semua anak didiku telah bersedia dengan buku terbuka di atas meja dan masing2 ingin menunjukkan bahawa mereka telah siap membuat latihan yang kuberi. Kemudian ada beberapa orang murid mengangkat tangan memberitahu ada soalan yang dia tidak tahu cara penyelesaiannya lalu semuanya kubimbing.

Buat anak didikku, ku berharap agar perubahan kalian ini adalah berpanjangan dan kekal selamanya. Ingatlah pesan cikgu tadi. Semoga apa yang berlaku tidak akan berulang kembali dan ingatlah kejayaan kamu adalah hadiah yang paling berharga dan bermakna buat cikgu.

Wednesday, March 30, 2011

Terguris luka

Selama bergelar guru, hari ini aku benar-benar rasa kecewa, pedih rasa hati, terpaku seketika dgn gelagat anak didikku tahun 6 Ibnu Sina (kelas pertama)sesi 2011.Tak pernah ku terima tamparan sehebat ini dan hari ini aku mengalirkan air mata kekesalan atas sikap hipokrit anak didikku. Terasa sia-sia pengajaranku selama 3 bulan ini.

Pagi tadi sebaik tiba di sekolah seawal pagi, aku terus masuk ke kelas 6 Ibnu Sina memasang wayar LCD ke laptopku biarpun ku tahu sebenarnya hari ini waktu pertama dan keduaku adalah di kelas 6 Al Farabi dan bukannya 6 Ibnu Sina. Waktu kubersama 6 Ibnu Sina adalah waktu yang ketiga. Namun aku memang telah merancang untuk membawa anak didikku 6 Alfarabi ke kelas 6 Ibnu Sina dan begitulah sebalinya. Tukar kelas seketika sebab di sekolah hanya kelas 6 Ibnu Sina sahaja yg telah lengkap dengan kemudahan LCD.

Selepas siap segalanya,aku memanggil kelas 6 Al farabi masuk ke kelas 6Ibnu Sina dengan harapan sebaik loceng berbunyi, aku terus dengan pengajaranku. Aku tidak mahu membuang masa sebab berdasarkan diagnostik yang kubuat masih banyak kelemahan anak didikku yang perlu kubantu.

Pengajaranku waktu pertama & kedua bersama kelas 6 Alfarabi(kelas yang ke-3) aku benar2 rasa seronok sebab latihan yang kuberi pada hari semalam rata-rata semua anak didikku buat. Sesi perbincangan berjalan lancar dan aku amat seronok sebab anak didikku dpt menjelaskan langkah demi langkah bagaimana untuk mendapatkan jawapan bagi soalan penyelesaian masalah dalam tajuk wang. Aku berasa puas!! latihan seterusnya melalui soalan-soalan yang kupamerkan melalui LCD dapat disalin dengan sempurna.

Apabila loceng ketiga berbunyi, anak didikku 6 AlFarabi balik ke kelas mereka semula dan anak didik 6 Ibnu Sina masuk ke kelas mereka kembali. Selepas salam diberi aku terus bertanyakan akan latihan pada hari semalam untuk mendapat maklum balas andaikata ada sebarang masalah yang perlu kubantu. Masing-masing menjawab tiada masalah lalu kusuruh membuka buku latihan tersebut dan di sinilah segalanya bermula. Ku pergi ke meja seorang demi seorang anak didikku rupanya - rupanya majoriti tidak menjawab langsung soalan yang kuberi pada hari semalam. Bayangkan! Kelas yang pertama bersikap demikian. Antara 34 orang pelajar cuma 7 orang sahaja yang menyiapkannya. Berbeza dengan kelas ketiga 6 Al Farabi.

Aku benar-benar rasa tertipu lantas kututup laptopku dan mencabut wayar LCD. ku duduk tanpa berkata apa-apa. Aku sebak menahan perasaan. Mujur aku cuma ada 1 waktu bersama mereka. Aku cuma memohon maaf pada anak didikku yang 7 orang yang menyiapkan kerjaku kerana disebabkan sikap rakan mereka yang lain, aku tidak mengajar mereka pada hari ini. Aku memang kesal. Kesal yang amat2. Andai kelas lain, aku tidak pelik dan terasa sangat tetapi ini kelas pertama, aset sekolah. Selama mengajar inilah kelas pertama yang bersikap demikian. Kalau 7 orang tidak menyiapkan kerja, bolehlah dimaafkan tapi ini tidak!! 7 orang sahaja yang menyiapkan kerja. Hatiku terluka, hancur luluh. Sia-sia ku korbankan waktu tidurku memikirkan bagaimana untuk memantapkan anak didikku tetapi anak didikku inikah balasan anda.


Saturday, March 26, 2011

Macam-macam hal

Minggu ini adalah hari yang paling sibuk di sekolahku. Apa tidaknya, selepas PKSR 1, pastinya semua data perlu dilengkapkan. Semua guru sibuk menjadi kerani pula. Masing-masing mengadap laptop. Mujurnya kerjaku semuanya telah dibereskan ketika cuti sekolah tempoh hari. Fuhh! lega! Kan dah kata, jangan amalkan sikap suka bertangguh kerja. Kerja bertangguh memang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri juga. Betulkan?

Seterusnya hari anugerah cemerlang akan diadakan pada 27hb Mac ini. Apa lagi, pastinya guru yg terlibat dengan hadiah sibuk pula membungkus hadiah-hadiah. Kulihat bilik guru tidak serupa bilik guru dah jadinya. Ermm~sabar je lah ye.

Dalam kesibukan ini, tetiba dimaklumkan YDP PIBG telah menjemput pakar motivasi ke sekolah untuk memberi motivasi kepada murid-murid tahun 5 dan 6, seterusnya kepada ibu bapa pula. Pakar motivasi yg dijemput bukan calang-calang orangnya. Siapa yang tidak kenal Tuan DR Tengku Asmadi. Penyampaiannya memang penuh bersemangat dan penuh bermakna serta boleh diamalkan.

Program ini telah diadakan pada hari Khamis bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Kemudian pada pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 1.00 adalah program untuk ibu-bapa pula. Malangnya, program bersama ibu bapa tidak dapat kuturut serta kerana aku terlibat dengan kelas tahun 5. Aku akur dengan tugasku lalu kubawa murid tahun 5 belajar Matematik di dalam makmal komputer seperti yang selalu kubuat pada setiap hari Khamis. Makmal komputer berada di satu sudut penjuru padang sekolah. Di sini memang seronok mengajar murid-murid sebab jauh daripada suasana yang bising. Aku juga turut mengadakan kelas tambahan untuk tahun 6 ku di sini bermula jam 1.40 hingga 3.40pm. Apabila berada di sini seolah-olah aku terputus dengan dunia luar.

Sebaik masuk ke dalam makmal, aku terus memasang laptopku dan menyambungkannya dengan wayar LCD. Aku memang suka mengajar meggunakan powerpoint. Apabila mengajar aku akan memberi fokus sepenuhnya kepada anak didikku. Tanpa disedari jam telah menunjukkan pukul 1.30 beerti anak didikku telah terlewat sepuluh minit untuk pulang. Sepatutnya mereka pulang pada pukuk 1.20pm. Selepas pesanan terakhir kuberi, kulepaskan anak didikku pulang dan aku terus duduk di dalam makmal untuk meneruskan kelas tambahanku yang akan bermula pada pukul 1.40pm.

Ketika menanti anak didik tahun 6 ku masuk ke makmal, aku mencatat isi-isi penting untuk disampaikan pada mereka. Ku pamerkan powerpoint berkaitan soalan-soalan yang telah kukumpulkan mengikut aras daripada senang kepada aras yang paling tinggi. Ku teliti semula soalan-soalan tersebut dan tetiba ku terlihat jam telah menunjukkan pukul 2.10 dan dalam hatiku berkata, 'ishh tak boleh jadi ni, mana anak didikku sorangpun tak masuk-masuk lagi. Nak belajar pukul berapa?' Lantas ku keluar dari makmal ingin memanggil anak didikku. Ku ternampak seorang anak didik tahun 5 ku lalu ku meminta dia memanggil abang-abang atau kakak-kakak tahun 6 masuk ke makmal segera. Selang 5 minit kemudian, berlarilah beberapa orang murid tahun 6 ke makmal mandapatkanku dan bertanya, 'ada apa teacher?' Ku tenung muka sorang-sorang lalu aku pula yang bertanya, 'Taknak belajar ke?' Anak didikku dengan sepontan menjawab, 'mana ada kelas hari ni teacher. Semua budak dah balik.'

Grrrrrr~aku terus menelefon kawanku dan baharulah kutahu sebenarnya kelas pada hari ini telah dibatalkan dengan arahan Guru Besar disebabkan ada beberapa orang ibu bapa yang hadir untuk program motivasi ingin membawa anak mereka pulang bersama mereka. Pengumuman telah dibuat tetapi aku memang tidak mendengarnya.
Buat anak didikku, sampai hati ye seorangpun tidak datang untuk memaklumkan bahawa kelas telah dibatalkan. Sedihnya hati bukan kepalang. Ku menutup semula laptopku, menutup aircond dan keluar dari makmal.

Keesokkannya, apabila tiba di sekolah beberapa orang murid tahun 6 memohon maaf padaku kerana pada sangkaan mereka aku telah tahu akan pembatalan kelas. Aku tahu bukan salah anak didiku tetapi aku sengaja pura-pura merajuk kononnya. Haha~seronok juga melihat anak didikku berpakat untuk memujukku. Apapun kutetap jual mahal.
Kebetulan aku pula sibuk dengan raptai hari anugerah cemerlang. Lantas memang aku tidak punya masa untuk melayan mereka. Tugasku sebagai ketua bahagian pengurusan peserta yang menerima hadiah memang memerlukan komitmen yang tinggi bersama dengan pengacara majlis dan pemberi hadiah agar perjalanan majlis berjalan dengan lancar.

Ketika raptai, persembahan daripada anak-anak prasekolah dan pendidikan khas memang mencuit hatiku. Aku rasa terhibur dengan persembahan mereka. Hilang penat seketika.
Kemudian dalam kesibukan ini, datang pula van milo. Ya Allah, bertambah gamatlah suasana persekitaran sekolahku. Murid-murid berasa seronok kerana mereka mendapat minuman percuma.

Selepas raptai dan diberi minuman percuma. ada sebahagian murid masuk ke kelas dan sebahagiannya membantu guru bahagian persediaan tempat menyediakan bilik untuk jamuan ibu bapa nanti. Owhh~ memang macam-macam hal. Para ustaz & ustazah pula sibuk melatih anak didik yang masuk bertanding bahagian tilawah, hafazan, bercerita, tulisan jawi dan nasyid.

Pagi tadi setibanya di sekolah, kulihat banyak kereta berada di perkarangan sekolah. Owhhh, patutpun rupa-rupanya pagi ini para ustaz & ustazah membawa anak didik yang mereka sibuk latih pada hari semalam ke pertandingan tilawah Al-Quran. Semoga berjayalah hendaknya ya. Maaf! kesibukan dengan tugas masing-masing, duduk sebumbungpun tak sempat bertanya khabar tentang pertandingan ini. Pn Goh pula sibuk dengan program BI dan dengarnya sekolah SKBS menjadi tuan rumah. Ohoho sibuk lagilah cikgu-cikgu ye.

Thursday, March 17, 2011

Peragut Jahanam

Sakitnya hatiku bila mendapat tahu emak diragut. Mujur emak tak cedera. Andainya apa-apa berlaku pada emak, memang tak selamatlah hidup kau wahai peragut.

Peragut Jahanam!! Hari ini engkau selamat tapi aku yakin, engkau takkan selamat selamanya. Ingat! Doa orang-oarang teraniaya biasanya mudah termakbul. Jadi awas peragut jahanam. Hidup awak takkan tenang. Duit emak yang engkau ragut tak seberapa tapi perbuatan engkau tiada siapapun yang akan memaafkannya.

Tuesday, March 8, 2011

Ok ke??

Hari ini sekembalinya dari sekolah, aku terpinga-pinga sendirian sebab tiada lagi kertas ujian murid yang hendak ku semak. Semuanya telah kubereskan. Ermm~ nak buat apa ye? Ohoho apa lagi, selepas menunaikan kewajipan ku mulalah melayari internet dan perkara utama kulakukan ialah melawati blogku ini.

Owhh! hari ini baru ku terperasan, ramai juga yg meninggalkan sesuatu di ruangan chitchat ku. Si Auni, anak didikku komen, 'ramainya org putih yang lawat blog tcer'..A'ah ye lah Auni. Sebetulnya tcerpun tak perasan.

Caroline, Anne, Mira, sally antara yang ku ingat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawati blogku ini. Eh, betul ke best membaca postku ini? Kalau betul bagai dikata, terima kasih sekali lagi.

Sebenarnya memang hobiku suka menulis. Ok ke tak ok ke..haha belasah aja. Biasanya sesuatu yang lahir daripada pengalaman dan naluriku..akan kuluahkan seperti yang kalian baca. Itulah diriku.

Ok ke????

Friday, March 4, 2011

Suara Oh suara

Setiap tahun aku pasti menghadapi masalah suara. Suaraku sering jap ada jap takde. kalau adapun bila bersuara mengalahkan penyanyi Ella.

Masih ku ingat 3 tahun yang lalu setiap kali bila ku hendak melangkah masuk ke kelas, di atas meja telah tersedia beberapa botol air asam jawa. Agaknya kesian sungguh mereka terhadap cikgunya ini. Terharu sungguh aku dibuatnya. Aku tidak pernah meminta tetapi itulah penghargaan anak didikku terhadap diriku.

Peliknya, di sekolah, aku seorang sahaja yang sering mengalami masalah sakit tekak. Kenapa? Risaunya hati bukan kepalang apabila masalah ini melanda. Rakan-rakan menyarankan agar aku pergi berjumpa dengan doktor tapi ermm lambat lagilah. Aku rela begini daripada berjumpa dengan doktor.

Suara oh suara. Bilakah suaraku akan pulih seperti sedia kala?
Andaikata sesiapa yang ada petua untuk mengatasi masalah ini, sudi-sudikan lah ye.

Wednesday, March 2, 2011

Bunga-bunga kemarahan

Apa saja yang diamanahkan kepada kita merupakan tanggungjawab kita. Yup! memang tanggungjawab kita tapi peliknya mengapa sesetengah orang tidak bertanggungjawab?
Apakah yang harus diperlakukan kepada orang-orang yang sedemikian rupa?

Andainya tidak bertanggungjawab tidak menyusahkan orang lain, pastinya tidak ada sesiapa yang mempersoalkannya tetapi ini tidak!! Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah orang ini telah menyusahkan orang lain! Senang cerita, menyusahkan diriku. Ini boleh memekarkan bunga-bunga kemarahan.

Uishhhh ~lepas geram niii. Ya, memang lepas geram. Selama kubergelar guru, aku tidak suka melengah-lengahkan kerja yang diberi. Kerjaku up to date. Namun kini kerjaku banyak yang tergendala apabila melibatkan orang lain. Kerjaku banyak yang tertangguh akibat daripada orang-orang yang sedemikian rupa. Grrrrrrrr....geram yang amat sangat.

Diriku juga pernah muda, pernah miliki anak kecil, ada suami, perlu mengemas rumah tapi aku tidak pernah memberi alasan ini apabila bekerja. Bekerja adalah pilihan sendiri dan kerja itu merupakan ibadah yang dibayar gaji lantas tugas dan tanggungjawab perlu dilaksanakan by hook or by crook. Bukan begitu? Namun kini sedihnya, sesetengah guru muda mengambil remeh-temeh akan kerja-kerja yang diamanahkan. Tanpa rasa bersalah memberiku menyemak kertas soalan sesuka rasa sedangkan tarikh yang ditetapkan seminggu telah berlalu.

Bayangkan ujian PKSR 1 akan dilaksanakan pada minggu hadapan, due date penyerahan kertas soalan telah ditetapkan, malangnya ada yang ambil mudah baru menyerahkannya pada hari semalam dan juga hari ini kepada ketua Panitia. Apa? ingatkan ketua panitia tidak perlu ambil masa untuk menyemak soalan-soalan tersebut? Kelewatan mereka inilah menyebabkan aku pula terpaksa berkorban masaku, balik lewat untuk menyemak kertas mereka. Gara-gara mereka menyebabkan perjalanan kerjaku yang lain tergendala. Ya Allah, kesabaranku akhirnya tergugat juga. Ini bukannya kali pertama.
Sudahlah lewat, banyak pula kesalahan yang perlu dibaiki. Bagiku sepatutnya kerja menjadi perfect sebab begitu lama masa yang diambil tapi rupanya anggapanku meleset. Nampak sangat kerja hanya melepaskan batuk di tangga. Sedih sungguh aku akan sikap ahli panitiaku.

Kalau anak didik tidak buat kerja atau mendengar arahan, tau pula marah sedangkan diri sendiri....?????????

Ku ingatkan pada usia hampir setengah abad ini akan lahirlah bunga-bunga cinta di mana jua berada bagi mengakhiri sisa-sisa hidup yang ada tapi sebaliknya yang berlaku. Bunga-bunga kemarahan pula yang muncul. Kenapa????

Sunday, February 20, 2011

20 Februari 2011 (20022011)

Hari ini 20 Feb genaplah usia anak sulongku 22 tahun. Ermm besar dah anak mama. Seawal pagi ku bersama suami keluar menuju ke KL bagi meraikan ulangtahun kelahirannya. Si bongsu pula tiada bersama kerana anak bongsuku telah punyai rancangan yang lain. Uishh anak mama dah besar! Kalau dulunya ke mana saja berada kami tetap berempat tetapi sekarang masa untuk berkumpul berempat adalah amat terhad.

Anak mama, mama & ayah doakan semoga kesemua anak mama akan berjaya di dunia & di akhirat kelak. Saat paling indah menjadi seorang ibu apabila anak2 sanggup berkongsi masalah bersama dan menjadikan mama teman untuk berbicara. Terima kasih anak-anakku.

Semoga kasih sayang dibina berterusan hingga ke akhir hayat. Melalui kasih sayang baru kejayaan dan kekayaan datang seiring~insyaAllah.

Mama sayang semua!!


Tuesday, February 15, 2011

Pulang Ke Kuala Rompin

Pagi ini selepas solat subuh, ku bersiap untuk pulang ke kampung mertuaku. Awal-awal pagi selepas bersarapan ku bersama suami keluar dari rumah untuk menuju ke destinasi.

Sepanjang perjalanan,cuaca mendung namun semangat untuk pulang mengatasi segalanya. Ketika dalam perjalananlah banyak ku berceloteh bersama suami dari satu topik ke satu topik macam baru berjumpa. Ermm itulah hakikatnya, biarpun tinggal sebumbung tapi kami jarang dapat berbual lama. Biasanya masa hari bekerja, ku keluar rumah se awal jam 7.00 pagi dan bila balik waktu tengahari suamiku tiada di rumah. Paling awal suami ku pulang bekerja kebiasaanya hampir jam 9.15 malam. Bayangkan. Jadi bila waktu cuti atau cuti pada hujung minggu adalah hari yang berkualiti untuk kami.

Ketika sampai di kuala Rompin, ibu mertuaku telah sedia menyambut kami. Bila berjumpa apa lagi macam-macamlah yang dibicarakan antara emak dan anak. Sekali sekala diriku menyampuk juga.

Kemudian tanpa disedari aku tertidur. Sahlah bertuah punya menantu. Aku terlelap di hadapan ruang tamu tempat menonton tv. Kononnya ingin menonton siaran tv tapi rupanya tv yg menonton ku tidur. Sesedar kuterdengar suara azan berkumandang menandakan waktu solat Zohor telah masuk. Apa lagi mulalah bergegas ke bilik air dan tepat jam 2.00 petang ku bertolak pulang semula ke Kuantan. Qwhh kini memang terasa... begitu cepat masa berlalu.

Bila masa untuk pulang memang tergambar di wajah emak mertuaku akan perasaan sayunya. Perasaan ini memang dapat kurasakan sebab diriku juga berasa begitu sayu apabila ingin melepaskan anak-anak pulang belajar semula setelah menghabiskan percutian semesternya di rumah.

Emak, insyaAllah kami berjanji akan tetap meluangkan masa untuk pulang semula nanti untuk melihat emak. Doa kami moga emak sentiasa sihat dan dilindungiNya.


Monday, February 14, 2011

I'm Back

Woow~lama sungguh ku tak update blogku ini. Ermm semenjak 2nd Februari hinggalah ke hari ini keadaan kesihatanku tidak mengizinkan diriku untuk melawati blogku sendiri. Apapun hari ini baru terasa kesihatanku kembali normal. Syukur alhamdulillah.

Esok 15 Februari merupakan Sambutan Maulidur Rasul so kuambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam Maulidur Rasul untuk semua yang melawati blogku ini. Selepas ini insyaAllah kuakan mula mengaktifkan blog ku kembali. Tungguuuuu!!!


Sunday, January 30, 2011

Sharing is Caring

Kebaikan surah Al Falaq ~ Menghindari pukau.
Pukau merupakan satu daripada amalan sihir. Perbuatan ini adalah berdosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum pada sesiapa yang mempelajarinya adalah haram.



Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya sentiasa memohon perlindungan Allah daripada terkena sihir. Sebagai manusia, Nabi tidak terkecuali dikenakan dengan amalan jahat ini. Oleh itu dalam surah al-Falaq kita disaran berlindung daripada kejahatan makhluk tuhan, kejahatan malam dan kejahatan sihir (pukau) serta kejahatan daripada sifat dengki.

Perbanyakan membaca surah ini dan berlindung dengan Allah dan mengamalkan doa mathurat yang diajarkan Nabi supaya terelak daripada sihir dan pukau. Apabila manusia berzikir, dia mengingati Allah dan apabila dia mengingati Allah dia tidak lalai. Hanya manusia yang lalai dan alpa mudah terkena amalan sihir.

Saturday, January 29, 2011

Hujan

Owhh lama sungguh ku tak lawati blogku ini. Telah ku duga kesibukan dengan tugasan harian membataskan diriku untuk melayari blogku. Di luar, cuaca tidak menentu menjadikan emosiku juga terganggu. Cuaca yang mendung membuatkan hatiku bertambah sunyi dan sepi. Apabila hujan lebat turun menjadikan jiwaku sebak menanggung rindu pada emak & ayah di kampung.

Hujan oh hujan, hadirmu seribu rahmat namun apabila sendirian kehadiranmu bisa mengalirkan air mata. Rindu pada keluarga dan anak-anak.
Ya Allah~Kau lindungilah ahli keluargaku, suami dan anak-anakku.

Sunday, January 23, 2011

Doa Setelah Dhuha

“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

Friday, January 21, 2011

Kak Chah oh Kak Chah

Hari ini majlis persaraan GPK HEM Pn Norasiah Bt Hassim atau lebih dikenal mesra sebagai kak Chah telah dibuat di sekolah. Suasana pilu mengiringi kami apabila kak chah mula berucap untuk sekian kalinya di hadapan kami. Ucapan beliau penuh bermakna buat kami yang akan ditinggalkan. Kak Chah pastinya kami akan kehilangan gurau senda yang bersahaja daripada kak.

Selamat bersara kak Chah dan moga hari-hari seterusnya lebih membahagiakan.

Thursday, January 20, 2011

Kepenatan

Itulah patah perkataan yang mampu kukatakan tika ini. Kepenatan!

Semalam aktiviti senamrobik dan larian merentas desa telah dijalankan di sekolahku. Aktiviti ini memang menyeronokkan. Sekalung tahniah buat warga SKBS kerana masing-masing menjalankan tugas bersama bagaikan satu keluarga yang utuh. Aku bangga menjadi sebahagian daripada warga SKBS.

Esok pula adalah majlis sambutan persaraan salah seorang daripada warga SKBS iaitu Pn Norasiah Bt Hassim. Pastinya kami akan rasa kehilangan beliau yang bagaikan kakak buat kami. Sedih tetap sedih tapi apakan daya setiap pertemuan sememangnya tidak akan lari daripada perpisahan.

Kak Chah, selamat bersara dan kepenatanku yang terlampau membuatkan aku tidak mampu untuk terus melayari blogku ini.

Sayonara!!

Tuesday, January 18, 2011

Sakit

Sakit? Yup! sana sini kedengaran ramai yang sakit tidak terkecuali dengan diriku. Pagi tadi aku mengalami pening kepala secara tiba-tiba lantas suamikulah yang menghantar ku kesekolah. Sememangnya apabila sakit kepala menyerang aku tidak akan berani membawa kereta. Namun mujur sakitku tidak berlarutan. Biasalah apabila berjumpa rakan-rakan & anak didik, aku akan lupa terus akan kesakitan. Lagipun mungkin aku telah terbiasa dengan didikan emak agar jangan terlalu ikutkan akan kesakitan yang melanda. Stay cool!Yes!! stay cool & relax.

Apapun sebelah petang aku mendapat msg dari sahabatku memberitahu bahawa dirinya berada di wad KMC setelah hampir seminggu menanggung kesakitan seolah-olah dirinya akan pergi buat selama-lamanya. Apabila mendengar kata-kata ini, airmataku spontan mengalir dan memang jelas dan nyata aku lemah bila diutarakan bab-bab begini. Aku memang takut akan kehilangan insan-insan yang disayangi.

Hospital? klinik? Aduh, inilah tempat yang paling takut untukku pergi. Kalau tidak, masakan anak-anakku kulahirkan di rumah. Cukuplah ketika pembedahan ayah dua tahun yang lepas menjadi mimpi ngeri buatku. Maaf kawan, aku hanya mampu berdoa dari jauh agar cepat sembuh.

Ya Allah,biarpun sakit itu merupakan ujianMu buat hambaMu namun ku bermohon agar janganlah diriku diberi ujian yang dahsyat yang tidak mampu kutanggung. Berilah aku kekuatan dan ketabahan untuk melalui liku-liku kehidupan ini.

Sunday, January 16, 2011

Santai

Lega! Fikiranku kembali tenang selepas berakhirnya sesi temudugaku kelmarin. Selepas temuduga sedihnya ku tidak dapat berbicara dengan suamiku kerana kebetulan pada tarikh yang sama suamiku terpaksa menghadiri kem bina semangat di Kuala Rompin.

Berikutan ketiadaan suamiku selama dua hari di sisi, aku menghabiskan masa bersantai di rumah dengan ditemani anak bongsuku yang semata-mata balik dari Melaka untuk menemaniku. Terima kasih anak mama.

Biasanya pada cuti hujung minggu, memang aku sering keluar dari bandar Kuantan. Namun pada minggu ini aku hanya duduk di rumah. Seawal pagi kubangun seperti hari-hari biasanya dan selepas menunaikan kewajipan kuterus mengemas rumah di bahagian atas, ruang lepakku untuk mentelaah, mengadap laptop dan menyemak buku latihan murid. Kemudian ku terus mengemas dan mengalih serba sedikit perabut dibilikku dan juga bilik anak2 bujangku. Fuhh, penatnya tapi hatiku puas!

Rupanya banyak kerja yang boleh kulakukan dalam tempoh dua hari duduk di rumah. Betapa banyaknya habuk-habuk yang dapat kukumpul dan kubuang. Dahsyatnya, sekali fikir daripada mana datangnya habuk-habuk ini sedangkan rumahku jauh daripada kereta yang lalu-lalang dan pintu dan tingkap sering tertutup rapi. Pelik! Namun dalam hati terdetik juga, andainya habuk-habuk ini boleh di'recycle', pasti dapat juga aku hasil yang lumayan. Eh, para saintis di luar sana, kenapalah tidak buat kajian tentang habuk ni ye? Agaknya kalau habuk-habuk ini boleh di'recycle' pastinya rumak kita, bilik-bilik darjah, pejabat dan di mana-mana saja bebas daripada habuk-habuk ini. Betul bukan?

Ermm~ting tong! Suamiku dah pulang. Yeay..memang saat dinantikan. Santai hujung mingguku lebih bermakna apabila semua keluarga berkumpul di sisi.

Friday, January 14, 2011

Syukur Alhamdulillah

Inilah ucapan yang terkeluar dari mulutku apabila keluar dari bilik temuduga. Syukur! Syukur alhamdulillah.

Gara-gara untuk temuduga, aku terpaksa menyepikan diri sementara drp menziarahi blogku. Azabnya rasa selagi belum selesai temudugaku. Namun kini, Ya Allah, syukur yang tidak terhingga kerana segala urusanku telah dipermudahkan olehMu.

Kini baru terasa letihnya setelah bertungkus-lumus mentelaah segala yang berkaitan dengan pendidikan. Tanya sajalah pasal NKRA, PPIP, KSSR, Program linus, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Ketua Pengarah Pelajaran, dan macam- macam lagi~ fuhh semuanya cair keluar daripada mulutku tapi Allah tidak mahu aku riak lantas dipermudahkan lagi urusanku, soalan-soalan yang ditanya hanya berkaitan dengan bidangku di sekolah dan persamaan warna yang terdapat pada bendera N.9 dan Pahang. Syukur aku dapat menjawabnya dengan tenang. Bagaimanapun kuingin rakamkan ucapan terima kasih buat rakan-rakan khususnya Elly, kak Ani, Goh, Nizam, Hisham, Azman, Zahuril, Saufi yang sudi melayan kerenahku bertanya itu dan ini serta sanggup mencari bahan melalui web-web tertentu. Apa saja yang terdetik dihatiku, ku bertanya pada mereka dan mereka sedia membantu. Mereka ini, semuanya telah lama melalui situasi yang kulalui tadi dan syukur mereka tidak lokek membantuku. Terima kasih semua. Kerjasama kalian amatku hargai.

Syukur berakhir sudah kebimbanganku.

Sunday, January 9, 2011

Penuh! Penuh! Penuh!!!

Grrrrrr....geramnya weiiii!!! Semalam ke Cherating, Balok, Black Stone kuterjah untuk mendapatkan tempat penginapan untuk 'family gathering' pada awal bulan Feb nanti tapi hampa. Semua penuh di'booking' dah. Fullamak 'advance'nya orang lain daripada diriku. Frustnya! Lalu kuhala pula ke Tanjung Lumpur dan Pantai Sepat. Jawapannya tetap sama~penuh!!

Pagi ini seawal pagi kubangun, kulayari internet mencari pula homestay yang terdapat di area Balok, Sg Karang & Batu Hitam. Semua website yang berkaitan kujelajahi dan pantang ada no telefon, kuhubungi tuan empunya homestay, jawapannya semua menghampakan, "Dah penuhlah Puan. Maaf! Ada yang dah booking sejak dari bulan September tahun lepas lagi" Wow, dahsyatnya! Booking dari tahun lepas lagi tuu..patutpun, bisik hatiku.

Sungguh ku tak menduga begitu susahnya untuk mendapatkan tempat penginapan. Pertama kali ku lalui situasi begini dan tak kusangka hebat sungguh penangan daerah kuantan rupanya hingga menjadi tumpuan ramai pada kala cuti. Perghhhh!! Ingatkan pada cuti perayaan Tahun Baru Cina nanti bolehlah kami bersantai dilokasi tepi pantai tapi hancusss..lalu kutukar lokasi mencari penginapan di bandar Kuantan. Kucari pula homestay di bandar Kuantan namun kesmuanya tetap penuh. At last kuambil keputusan, tidur sahaja dirumahku. Di rumahku yang menjadi masalahnya cuma tempat untuk parking kereta sahaja yang bermasalah sebab rata-rata jiran di sekelilingku memiliki lebih daripada dua buah kereta. Di manakah untuk ahli keluargaku meletakkan kereta mereka nanti? Inilah persoalannya.

Penuh! Penuh! Penuh! Fuyooo berduit sungguhlah pemilik homestay dan hotel-hotel pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini. Nampaknya bila rumah baru kusiap nanti, bolehlah rumah ku ini kubuat homestay pula..tetiba otak bisness muncul dalam fikiranku. Bisness 2012~boleh ke?

Saturday, January 8, 2011

Berakhir Sudah Minggu Pertama Persekolahan Sesi 2011

Pejam celik-pejam celik, rupanya sudah seminggu berlalu minggu pertama persekolahan dalam tahun 2011. Uishhh ~ Sungguh cepat masa berlalu. Rasanya tak terkejar oleh ku akan masa sekarang ini, kenapa???? Siang berganti malam dan malam berganti siang namun kerjaku tak kunjung abisnya. Huhu...minggu kedua pastinya semakin sibuk kerana berbagai-bagai program akan dilaksanakan...Ohh Dugaannnnnn....

Thursday, January 6, 2011

Ex-studentku

Hari ini pagi-pagi lagi aku telah dikejutkan dengan kehadiran Iqah, bekas anak muridku tahun lepas. Bayangkan sesampainya aku di sekolah jam 6.55 pagi, Iqah telah terpacul di hadapanku dengan memberi salam. Uishh biar betul Si Iqah ni. Aku benar-benar terperanjat. Rupa-rupanya Iqah sememangnya telah berjanji dengan rakan-rakannya untuk bertemu di sekolah ini dengan alasan terlalu rindu akan guru-guru dan suasana persekolahan di sekolah rendah. Iqah~iqah! Memang bertuah sungguh budak yang seorang ini. Rakan-rakannya yang lain muncul pada jam 9.00 pagi.

Kebetulan pada hari ini, aku punyai banyak masa yang terluang. Aku cuma ada empat waktu mengajar pada hari ini. Ermm apa lagi dengan kehadiran budak-budak bertuah ini, masa freeku dihabiskan dengan luahan perasaan mereka. Oiit anak-anakku, terimalah kenyataan, kamu semua tidak layak lagi untuk menduduki tahun 6.

Tahun 2010 telah beralih ke tahun 2011 tetapi sikap dan gelagat bekas anak-anak didikku ini, masih macam dulu-dulu juga. Apabila kemeraku telah berada ditangan mereka, iawabnya habislah semua guru jadi mangsa mereka. Snap sana dan snap sini.
Posing sana & posing sini.

Iqah, Mardha, Qasrina & Ika ~ Terima kasih kerana masih menghargai cikgu dan juga guru lainnya yang telah mendidik kamu.

Kenangan kehadiran kalian di sekolah tadi akan cikgu abadikan di blog ini.

Tuesday, January 4, 2011

Tidur Pengsan

Fuyoo~petang tadi aku betul-betul tidur pengsan. Yup! tdur selena-lenanya hingga tidak sedar apa yang berlaku di luar sana. Namun bersyukur akhirnya kubangun juga. Andainya tidak, uish innalillah terhenti setakat ini sajalah blog ku untuk tatapan kalian. Na'Uzubilah, moga Allah panjangkan umurku agar dapat kubuat kebajikan dan bertaubat atas segala kesilapanku selama ini.

Pagi tadi seperti biasa aku memang bersemangat untuk menjalankan tugasku. Niat di hati ingin melakukan aktiviti senaman di padang, namun hasratku terbantut memandangkan keadaan padang yang tidak mengizinkan. Padang dipenuhi dengan kemuncup di sana sini. Lantas kuambil keputusan melakukan aktiviti ketahanan otot di dalam kelas dengan menggunakan ruang yang amat terhad. Aktiviti menyeronokkan. Aku puas bila melihat anak didikku enjoy dan seronok melakukannya hinggakan aku juga lupa diri seketika melakukan aktiviti tersebut bersama. Kesannya~perghh sekembalinya di rumah, baru terasa kepenatan yang amat sangat. Haha~itu lah aku. Sabo ajalah..


Monday, January 3, 2011

Hari Pertama Sesi Persekolahan 2011

Hari ini, seawal jam 7.00 pagi, aku telah berada di sekolah. Semangat! memang aku amat bersemangat untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Hidupku kembali ceria secerianya apabila bertemu rakan-rakan dan juga anak didik baruku untuk sesi 2011. Tahun ini aku diamanahkan mengajar dua kelas tahun 6 dan satu kelas untuk tahun 5. Kali pertama melangkahkan kaki ke kelas-kelas ini, aku berasa amat seronok sebab mendapat respond yang amat baik.

Berdasarkan keputusan peperiksaan anak-anak didikku pada tahun sebelumnya, memang banyak yang perlu kubantu. Yup! inilah tugasku. Apapun pengalaman telah mematangkan diriku untuk mengatasi apa jua permasalahan yang mendatang. InsyaAllah akan kubantu anak bangsaku.

Buat anak didikku~ ingat ya, tiada jalan mudah untuk berjaya.Sama-samalah kita perbaiki kelemahan yang ada.

Respond yang baik yang kuterima pada hari pertama ini memberi impak yang besar buat diriku untuk memberi yang terbaik buat anak didikku~ insyaAllah. Doa dan harapan moga hari-hari yang mendatang tetap memberi inspirasi buatku untuk terus mendidik dengan cemerlang~amin!!

Sunday, January 2, 2011

Welcome to Secondary School

Selamat menempuh alam remaja buat anak didikku tahun 6/2010. Hari ini pendaftaran tingkatan 1 bermula so welcome to secondary school. Didoakan semoga semuanya bertambah matang dan belajarlah bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih terjamin. Perjalanan kalian masih jauh. Semoga kehadiran tahun 2011 memberi sinar dan kesedaran betapa pentingnya melengkapkan diri dengan ilmu. Tanpa ilmu di dada kita takkan ke mana.

Teruskan perjuangan dan Selamat berjaya walau di mana jua berada.

Saturday, January 1, 2011

01. 01. 2011

Selamat tahun baru. Yup! hari ini sah 01. 01. 2011. Buat sahabatku Arffin or Ipin yang juga bagaikan saudaraku, selamat hari ulangtahun kelahiran yang ke-47. Ohoho tua dah ye. Apapun sebulan sahaja lagi, diriku pula akan menyusul~02. 02. 2011.




Ipin, semoga murah rezeki, sihat selalu dan kehidupan lebih bermakna pada hari-hari mendatang. Agak-agaknya celebrate di mana bersama keluarga ye?






Esok pula, 02. 01. 2011, adalah hari ulang tahun sahabatku, Nor Azizah bt Mohamad Amin. Uishh bila beralih aja ke tahun baru, nampaknya usia kitalah palng awal menjejak ke angka 47 ye..






Semoga tahun 2011 lebh mematangkan kita semua~insyaAllah.