Calendar


SEMOGA HARI - HARI MENDATANG LEBIH BERMAKNA DALAM HIDUP KITA

Tuesday, April 5, 2011

Kembali Ceria!!

Hampir seminggu merawat hati yang terguris luka barulah hari ini kurasakan lukaku makin sembuh. Harap2nya biarlah sembuh tanpa meninggalkan parut.

Bagi yang tidak mengerti memang beranggapan apa yang berlaku cuma perkara kecil sahaja tetapi bagi yang mengalaminya memang terasa satu tamparan hebat.

Selepas kejadian memang aku tidak bersemangat untuk ke sekolah. Bila emosi terganggu memang akan melibatkan mental dan fizikalku menjadi lemah. Biarpun ada anak didik yang berusaha untuk menarik perhatianku kembali tapi kurasa hambar. Salah seorang muridku Iqmal Izzudin berusaha meng'upload' lagu P.Ramlee~ 'Maafkan kami' dan dipamerkan pada statusnya dalam FB untuk ditujukan khas buatku. Apabila ku membacanya, memang kurasa terharu atas inisiatifnya tetapi ku balas dengan kata-kata~' maaf memang boleh dimaafkan tetapi yang terluka pasti lambat sembuhnya.'

Kemudian bila ku membuka blogku ini, kudapati ada lagi seorang anak didikku memberi komen pada catatan terguris luka. Ku baca komen tersebut dan sekali lagi airmataku mengalir. Kenapa ye? Kenapa setelah melukai hati cikgu baru kalian ingin merayu dan memohon simpati dari cikgu? Ikutkan hati memang ingin sahaja aku berpatah arang dengan mereka.

Namun hari ini, diriku kembali ceria. Mungkin kepulangan anak yang bercuti selama seminggu di rumah membuatkan aku boleh melupakan apa yang telah berlaku. Semalam ketika aku bersama anak bongsuku ingin keluar ke bandar selepas solat asar, aku telah didatangi oleh 12 orang anak didiku. Aku memang terperanjat sebab ketika itu aku sedang mengunci pintu pagar rumahku dan anakku telah berada di dalam kereta.

Bagaimanapun kehadiran mereka kusambut jua. Rupa-rupanya mereka datang untuk meminta bantuanku mengajar mereka akan soalan yang mereka tidak dapat selesaikan. Aku pun membaca soalan yang ditunjukkan dan membantu mereka biarpun dalam keadaan berdiri. Ketika mengajar aku dikerumuni oleh mereka. Selepas itu aku meminta maaf sebab anakku telah lama menanti di dalam kereta.

Aku ingin mengajak mereka naik kereta bersama tetapi disebabkan keretaku tidak muat untuk menampung 12 orang lalu mereka sepakat untuk berjalan kaki sahaja menuju ke sekolah. Apabila aku telah berada di dalam kereta, perasaan kasihan menyelubungi diriku. Ku rasa ralat tidak menjemput mereka masuk ke dalam rumah lalu apabila keretaku menghampiri mereka ,kuarahkan anakku berhenti sekejap. Ku keluar daripada kereta dan menghulurkan sedikit wang buat mereka untuk membeli air minuman dan pisang goreng yang ada di jual dekat warong di tepi pagar sekolahku. Itulah aku. Aku bukan pendendam dan sesungguhnya jiwaku adalah jiwa penyayang.

Hari ini di sekolah. aku telah boleh senyum kembali. Aku tidak bertanyapun akan latihan pada hari semalam tetapi kali ini semua anak didiku telah bersedia dengan buku terbuka di atas meja dan masing2 ingin menunjukkan bahawa mereka telah siap membuat latihan yang kuberi. Kemudian ada beberapa orang murid mengangkat tangan memberitahu ada soalan yang dia tidak tahu cara penyelesaiannya lalu semuanya kubimbing.

Buat anak didikku, ku berharap agar perubahan kalian ini adalah berpanjangan dan kekal selamanya. Ingatlah pesan cikgu tadi. Semoga apa yang berlaku tidak akan berulang kembali dan ingatlah kejayaan kamu adalah hadiah yang paling berharga dan bermakna buat cikgu.

No comments:

Post a Comment