Calendar


SEMOGA HARI - HARI MENDATANG LEBIH BERMAKNA DALAM HIDUP KITA

Sunday, July 22, 2012

Ramadhan AlMubarak

Lama betul tak menjengok blog ni. Tau2 dah muncul bulan Ramadhan AlMubarak. Ermm sempena bulan baik ni...tetiba tringin nak mencoret sesuatu.. Bukan apa..cuma nak mohon ribuan ampun dan maaf andaikata ada kata2 yg mengguriskan selama ini. So Maafkan ye.. itu je. Ok selamat berpuasa semua & semoga amalan kita diterima hendaknya.

Sunday, October 30, 2011

lupa password

Gara-gara terlupa password ditambahkan pula dgn kesibukan tugas menyebabkan blogku ini terbiar sepi. Ermm member kata usia meningkat remaja ni memang camni lah...(nada perlilah tu!) Haha tak kisahlah.

Hari ni..yeahhh i'm free~ bebanan kerja sepanjang tahun ini beransur kurang. Apa lagi ye..pagi-pagi lagi kumulalah menatap blog ku semula. Senang aja password yg dah lupa tu,ku resetkan semulalah. Well now..i'm back. Ok2 nantikanlah celotehku ini selepas ini ye..



Friday, July 22, 2011

PUSAT KONSERVASI GAJAH KEBANGSAAN KUALA GANDAH, PAHANG.

Mata mengantuk, badan letih tapi puas terbaring, pusing sana dan pusing sini,tidak juga boleh tidur. Bila pejam saja mata, pasti wajah arwah anak saudaraku yg terlantar di katil hospital ketika hayatnya terbayang olehku. Agaknya macam manalah situasi adik iparku dan birasku. Ya Allah berilah diriku kekuatan dan semangat yang kuat untuk menangkis kesedihan ini.

Gara-gara tidak boleh melelapkan mata dan untuk menghilangkan keresahan...lantas kubuka blog ku ini dan tetiba ku terbaca blog Izyanti mengenai gajah. Owh~ Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. Amboi! tak sangka orang Penangpun lepas ke sini juga rupanya manakala aku pula.. Weiii esok lawatan ke sini jugalah. Ermm best juga rupanya tempat ni.

Esok 23 Julai 2011 , badan pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber sekolah akan mengadakan lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dengan menaiki 2 buas bas. Aku hampir-hampir lupa akan lawatan ini. Hendaknya esok aku dapat melapangkan fikiran dan melupakan seketika fikiranku yang bercelaru ini.

Eh..esok pukul berapa bertolak & pukul berapa balik ye?
Owhh~ out!! Grrrr ke manakah fikiranku melayang dua tiga hari ni...


Thursday, July 21, 2011

Pemergian buat selama-lamanya.

Agak terlalu lama aku tidak melayari blogku ini. Komitment tugas utk melahirkan anak didik yg cemerlang membatas waktu untukku mencoret sesuatu di blogku ini. Banyak masa terluangku dipenuhi dengan membina 'powerpoint' utk memantapkan proses P & P untuk anak didikku.

Hari ini tanggal 21 Julai...tetiba tergerak hatiku utk meluahkan sesuatu di sini. Ye selama ini pun... blog yg ku bina ini adalah medan untukku meluahkan rasa isi hatiku.

Sekembalinya dari sekolah. ku rasa serba tak kena. Ingatan terhadap arwah anak saudaraku kian menebal. Manakan tidaknya..hampir setahun lebih kami tidak berjumpa. Selama tempoh ini kami hanya berhubung melalui 'yahoo messenger' dan FB sahaja. Kekangan waktu membataskan kami untuk berjumpa. Farhah Fakhira, anak saudaraku sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun ini...manakala aku pula sibuk dengan tugasku sebagai seorang guru. Apabila dia balik bercuti ke kampung (KUala Rompin), kebetulan aku pula berada di Melaka ataupun Seremban. Andainya di Kuantan pasti suamiku akan ajak balik ke kuala Rompin.

Tiga minggu yang lepas, apabila dimaklumkan mereka balik ke kampung, aku dan suamipun turut balik sama. Malangnya, cuma 3 beranak saja yang balik iaitu adik iparku bersama isteri dan anak sulongnya yg kebetulan baru balik bercuti dari Australia. Farhah tidak balik bersama kerana dia ada program di sekolah. Hanya baju-bajunya saja yang ibunya bawa untuk dibasuh. Anak saudaraku ini belajar di SBP~Sekolah Sains Sultan Iskandar, Mersing manakala ibubapanya pula duduk di Pasir Gudang. Bayangkan... susahnyalah untuk kami bertemu dan kini pastinya kami tidak akan ketemu lagi buat selama-lamanya. Hati mana yang tidak sedih. Perginya sepantas kilat.

Pada tarikh 14 Julai, aku menerima panggilan telefon. Aku terkedu seketika. Air mata tetiba berjujuran. Aku menerima perkhabaran bahawa birasku bersama 2 orang anaknya kemalangan. Mulanya aku menerima berita, si ibu luka bahagian muka akibat terkena serpihan kaca, Si anak sulong selaku pemandu kereta, patah tulang bahagian bahu & seoarang lagi tidak sedarkan diri. Kejadian berlaku jam 11.30 a.m dan aku dimaklumkan lewat petang.

Adik beradik belah suamiku berpakat menziarahinya pada keesokan harinya tapi aku tidak dapat turut serta kerana menunggu kepulangan anak bongsuku dari Melaka selain suamiku tidak boleh mengambil cuti. Aku dan suami hanya menunggu perkembangan selanjutnya daripada adik beradik yang telah pergi ke sana.

Hari Jumaat malam, baru ku menerima berita bahawa anak sulong birasku tidak mengalami apa-apa kecederaanpun. Syukur alhamdulillah cuma yang seorang lagi masih tidak sedarkan diri. Dimaklumkan terdapat pendarahan dalam otak dan juga perut. Keesokannya pula baharu dikesan tanga kiri anak saudaraku yang masih tidak sedarkan diri itu patah pula.

Ya Allah.. aku hanya berdoa dari jauh semoga Allah selamatkanlah dan lindungilah anak saudaraku Farhah. Hakikatnya orang lain semua yang di sana telah tahu peluang yang ada hanya 70-30 dan bukannya 50-50. Hanya aku dan suamiku saja yang tidak tahu apa-apa.

Untuk menghilangkan kerisauan dan melepas rinduku terhadap anak saudaraku, kubuka wall Fb nya. Kulihat album-album photonya tapi malangnya tidak banyak gambar2nya. Kesemua albumnya hanya dipenuhi dengan gambar-gambar rakannya lalu kulayari blognya pula. Rupanya pada tarikh kemalangan yang berlaku jam 11.30a.m, Farhah sempat mencoret sesuatu buat rakannya pada jam 11.05 a.m.

Melalui blognya dapat kurasakan seolah2 Farhah telah tahu akan pemergiannya buat selama-lamanya.
Aku jua dapat rasakan itu...lantas ku suruh suamiku mohon cuti namun suamiku memang tidak boleh cuti hinggalah pada hari Selasa 19 Julai, suamiku sendiri sent msg padaku memberitahu keadaan Farhah semakin kritikal. Akhirnya..hari Rabu selepas subuh aku bergegas ke Johor Baharu dan kutitipkan doa agar Allah mengizinkan aku jumpa Farhah biarpun untuk seketika.

Setibanya di hospital, hanya Allah yang tahu akan perasaanku. Aku memang fobia untuk menjejakkan kaki ke hospital. Macam-macam perasaan yang timbul. Langkah ku longlai namun kugagahi jua. ku sekat sedaya airmata jangan tumpah membasahi tubuh Farhah namun ku gagal. Kuusap dan kucium dahinya serta kubisik sesuatu ditelinganya moga Farhah mendengarnya dan tahu bahawa maklongnya datang jua melawatnya.

Ketika kupegang tangan dan kakinya, masih kurasakan kehangatannya tapi kemudian...adik iparku menunjukkan bacaan degupan jantungnya kian rendah. Ku sebak lalu ku keluar dari bilik ICU itu. kemudian doktor memanggil semua ahli keluarga masuk ke dalam dan dimaklumkan bahawa Farhah hanya dapat bertahan setakat pukul 2 petang atau selewat-lewatnya jam 8.00 malam. Aku redha kerana itulah janji yang kupohon..andai Allah ingin mancabut nyawanya biarlah aku bersama ahli keluargaku sempat melihatnya dulu dan lebih kurang jam 10.00 malam~Farhah pergi buat selamanya.

Farhah..maklong amat terasa akan ketiadaan Farhah, Maklong tidak akan dpt melihat farhah on9 lg. Mujur blog Farhah ada untuk maklong tatapi.

Semoga Farhah tenang bersemadi di sana. Al~Fatihah!!


Friday, April 8, 2011

X-Ray

X-ray? Ramai yang tertanya-tanya, kenapa diriku perlu di x-ray. Uishh takkan terguris luka sampai perlu di x-ray pula kan. Haha...tak masuk akal langsung!!

Semalam aku pergi ke klinik untuk membuat medical checkup dan seterusnya perlu menjalani x-ray gara-gara untuk memastikan diriku sihat untuk menerima surat perlantikan sebagai guru siswazah. Itu sahaja sebabnya dan takde sebab yang lain. Kalau bukan kerana ini takkan ku saja-saja menyerahkan diri untuk menjalani pemeriksaan di klinik.

Pemeriksaan semalam, membuatkan aku semakin tak suka untuk ke klinik. Ingatkan di klinik swasta segala-galanya berjalan lancar tapi anggapan ku meleset. Bermula dari jam 2.00 aku di klinik yang lengang tanpa pesakit, jam 4.45 baru urusan ku selesai. Serik rasanya aku hendak ke klinik ini lagi. Charge yang dikenakan adalah tidak setimpal dengan layanan yang diberikan.' Lambat macam kura-kura'

Kemudian aku bergegas ke tempat pesuruhjaya sumpah yang akan tutup pada pukul 5.00 pm. Mujurlah suamiku ada di sisi menjadi penguat semangatku. Tepat jam 5.00 aku sampai di sana dan fuhh...lega... pejabatnya belum tutup dan akhirnya selesailah tandatangan akuan bersumpahku di hadapan pesuruhjaya sumpah.

Dulunya semasa mula-mula untuk menerima tawaran menjadi guru, urusan medical checkup seumpama ini telahpun kulalui dan ku sangkakan itulah kali pertama dan terakhir ku tempohi situasi begini tapi rupa-rupanya tidak. Pada usia hampir mencecah setengah abad inipun, aku terpaksa ulangi perkara yang sama. Terasa macam diriku ini baru mula-mula nak posting pula. Patutkah?


Tuesday, April 5, 2011

Kembali Ceria!!

Hampir seminggu merawat hati yang terguris luka barulah hari ini kurasakan lukaku makin sembuh. Harap2nya biarlah sembuh tanpa meninggalkan parut.

Bagi yang tidak mengerti memang beranggapan apa yang berlaku cuma perkara kecil sahaja tetapi bagi yang mengalaminya memang terasa satu tamparan hebat.

Selepas kejadian memang aku tidak bersemangat untuk ke sekolah. Bila emosi terganggu memang akan melibatkan mental dan fizikalku menjadi lemah. Biarpun ada anak didik yang berusaha untuk menarik perhatianku kembali tapi kurasa hambar. Salah seorang muridku Iqmal Izzudin berusaha meng'upload' lagu P.Ramlee~ 'Maafkan kami' dan dipamerkan pada statusnya dalam FB untuk ditujukan khas buatku. Apabila ku membacanya, memang kurasa terharu atas inisiatifnya tetapi ku balas dengan kata-kata~' maaf memang boleh dimaafkan tetapi yang terluka pasti lambat sembuhnya.'

Kemudian bila ku membuka blogku ini, kudapati ada lagi seorang anak didikku memberi komen pada catatan terguris luka. Ku baca komen tersebut dan sekali lagi airmataku mengalir. Kenapa ye? Kenapa setelah melukai hati cikgu baru kalian ingin merayu dan memohon simpati dari cikgu? Ikutkan hati memang ingin sahaja aku berpatah arang dengan mereka.

Namun hari ini, diriku kembali ceria. Mungkin kepulangan anak yang bercuti selama seminggu di rumah membuatkan aku boleh melupakan apa yang telah berlaku. Semalam ketika aku bersama anak bongsuku ingin keluar ke bandar selepas solat asar, aku telah didatangi oleh 12 orang anak didiku. Aku memang terperanjat sebab ketika itu aku sedang mengunci pintu pagar rumahku dan anakku telah berada di dalam kereta.

Bagaimanapun kehadiran mereka kusambut jua. Rupa-rupanya mereka datang untuk meminta bantuanku mengajar mereka akan soalan yang mereka tidak dapat selesaikan. Aku pun membaca soalan yang ditunjukkan dan membantu mereka biarpun dalam keadaan berdiri. Ketika mengajar aku dikerumuni oleh mereka. Selepas itu aku meminta maaf sebab anakku telah lama menanti di dalam kereta.

Aku ingin mengajak mereka naik kereta bersama tetapi disebabkan keretaku tidak muat untuk menampung 12 orang lalu mereka sepakat untuk berjalan kaki sahaja menuju ke sekolah. Apabila aku telah berada di dalam kereta, perasaan kasihan menyelubungi diriku. Ku rasa ralat tidak menjemput mereka masuk ke dalam rumah lalu apabila keretaku menghampiri mereka ,kuarahkan anakku berhenti sekejap. Ku keluar daripada kereta dan menghulurkan sedikit wang buat mereka untuk membeli air minuman dan pisang goreng yang ada di jual dekat warong di tepi pagar sekolahku. Itulah aku. Aku bukan pendendam dan sesungguhnya jiwaku adalah jiwa penyayang.

Hari ini di sekolah. aku telah boleh senyum kembali. Aku tidak bertanyapun akan latihan pada hari semalam tetapi kali ini semua anak didiku telah bersedia dengan buku terbuka di atas meja dan masing2 ingin menunjukkan bahawa mereka telah siap membuat latihan yang kuberi. Kemudian ada beberapa orang murid mengangkat tangan memberitahu ada soalan yang dia tidak tahu cara penyelesaiannya lalu semuanya kubimbing.

Buat anak didikku, ku berharap agar perubahan kalian ini adalah berpanjangan dan kekal selamanya. Ingatlah pesan cikgu tadi. Semoga apa yang berlaku tidak akan berulang kembali dan ingatlah kejayaan kamu adalah hadiah yang paling berharga dan bermakna buat cikgu.

Wednesday, March 30, 2011

Terguris luka

Selama bergelar guru, hari ini aku benar-benar rasa kecewa, pedih rasa hati, terpaku seketika dgn gelagat anak didikku tahun 6 Ibnu Sina (kelas pertama)sesi 2011.Tak pernah ku terima tamparan sehebat ini dan hari ini aku mengalirkan air mata kekesalan atas sikap hipokrit anak didikku. Terasa sia-sia pengajaranku selama 3 bulan ini.

Pagi tadi sebaik tiba di sekolah seawal pagi, aku terus masuk ke kelas 6 Ibnu Sina memasang wayar LCD ke laptopku biarpun ku tahu sebenarnya hari ini waktu pertama dan keduaku adalah di kelas 6 Al Farabi dan bukannya 6 Ibnu Sina. Waktu kubersama 6 Ibnu Sina adalah waktu yang ketiga. Namun aku memang telah merancang untuk membawa anak didikku 6 Alfarabi ke kelas 6 Ibnu Sina dan begitulah sebalinya. Tukar kelas seketika sebab di sekolah hanya kelas 6 Ibnu Sina sahaja yg telah lengkap dengan kemudahan LCD.

Selepas siap segalanya,aku memanggil kelas 6 Al farabi masuk ke kelas 6Ibnu Sina dengan harapan sebaik loceng berbunyi, aku terus dengan pengajaranku. Aku tidak mahu membuang masa sebab berdasarkan diagnostik yang kubuat masih banyak kelemahan anak didikku yang perlu kubantu.

Pengajaranku waktu pertama & kedua bersama kelas 6 Alfarabi(kelas yang ke-3) aku benar2 rasa seronok sebab latihan yang kuberi pada hari semalam rata-rata semua anak didikku buat. Sesi perbincangan berjalan lancar dan aku amat seronok sebab anak didikku dpt menjelaskan langkah demi langkah bagaimana untuk mendapatkan jawapan bagi soalan penyelesaian masalah dalam tajuk wang. Aku berasa puas!! latihan seterusnya melalui soalan-soalan yang kupamerkan melalui LCD dapat disalin dengan sempurna.

Apabila loceng ketiga berbunyi, anak didikku 6 AlFarabi balik ke kelas mereka semula dan anak didik 6 Ibnu Sina masuk ke kelas mereka kembali. Selepas salam diberi aku terus bertanyakan akan latihan pada hari semalam untuk mendapat maklum balas andaikata ada sebarang masalah yang perlu kubantu. Masing-masing menjawab tiada masalah lalu kusuruh membuka buku latihan tersebut dan di sinilah segalanya bermula. Ku pergi ke meja seorang demi seorang anak didikku rupanya - rupanya majoriti tidak menjawab langsung soalan yang kuberi pada hari semalam. Bayangkan! Kelas yang pertama bersikap demikian. Antara 34 orang pelajar cuma 7 orang sahaja yang menyiapkannya. Berbeza dengan kelas ketiga 6 Al Farabi.

Aku benar-benar rasa tertipu lantas kututup laptopku dan mencabut wayar LCD. ku duduk tanpa berkata apa-apa. Aku sebak menahan perasaan. Mujur aku cuma ada 1 waktu bersama mereka. Aku cuma memohon maaf pada anak didikku yang 7 orang yang menyiapkan kerjaku kerana disebabkan sikap rakan mereka yang lain, aku tidak mengajar mereka pada hari ini. Aku memang kesal. Kesal yang amat2. Andai kelas lain, aku tidak pelik dan terasa sangat tetapi ini kelas pertama, aset sekolah. Selama mengajar inilah kelas pertama yang bersikap demikian. Kalau 7 orang tidak menyiapkan kerja, bolehlah dimaafkan tapi ini tidak!! 7 orang sahaja yang menyiapkan kerja. Hatiku terluka, hancur luluh. Sia-sia ku korbankan waktu tidurku memikirkan bagaimana untuk memantapkan anak didikku tetapi anak didikku inikah balasan anda.