Calendar


SEMOGA HARI - HARI MENDATANG LEBIH BERMAKNA DALAM HIDUP KITA

Wednesday, March 30, 2011

Terguris luka

Selama bergelar guru, hari ini aku benar-benar rasa kecewa, pedih rasa hati, terpaku seketika dgn gelagat anak didikku tahun 6 Ibnu Sina (kelas pertama)sesi 2011.Tak pernah ku terima tamparan sehebat ini dan hari ini aku mengalirkan air mata kekesalan atas sikap hipokrit anak didikku. Terasa sia-sia pengajaranku selama 3 bulan ini.

Pagi tadi sebaik tiba di sekolah seawal pagi, aku terus masuk ke kelas 6 Ibnu Sina memasang wayar LCD ke laptopku biarpun ku tahu sebenarnya hari ini waktu pertama dan keduaku adalah di kelas 6 Al Farabi dan bukannya 6 Ibnu Sina. Waktu kubersama 6 Ibnu Sina adalah waktu yang ketiga. Namun aku memang telah merancang untuk membawa anak didikku 6 Alfarabi ke kelas 6 Ibnu Sina dan begitulah sebalinya. Tukar kelas seketika sebab di sekolah hanya kelas 6 Ibnu Sina sahaja yg telah lengkap dengan kemudahan LCD.

Selepas siap segalanya,aku memanggil kelas 6 Al farabi masuk ke kelas 6Ibnu Sina dengan harapan sebaik loceng berbunyi, aku terus dengan pengajaranku. Aku tidak mahu membuang masa sebab berdasarkan diagnostik yang kubuat masih banyak kelemahan anak didikku yang perlu kubantu.

Pengajaranku waktu pertama & kedua bersama kelas 6 Alfarabi(kelas yang ke-3) aku benar2 rasa seronok sebab latihan yang kuberi pada hari semalam rata-rata semua anak didikku buat. Sesi perbincangan berjalan lancar dan aku amat seronok sebab anak didikku dpt menjelaskan langkah demi langkah bagaimana untuk mendapatkan jawapan bagi soalan penyelesaian masalah dalam tajuk wang. Aku berasa puas!! latihan seterusnya melalui soalan-soalan yang kupamerkan melalui LCD dapat disalin dengan sempurna.

Apabila loceng ketiga berbunyi, anak didikku 6 AlFarabi balik ke kelas mereka semula dan anak didik 6 Ibnu Sina masuk ke kelas mereka kembali. Selepas salam diberi aku terus bertanyakan akan latihan pada hari semalam untuk mendapat maklum balas andaikata ada sebarang masalah yang perlu kubantu. Masing-masing menjawab tiada masalah lalu kusuruh membuka buku latihan tersebut dan di sinilah segalanya bermula. Ku pergi ke meja seorang demi seorang anak didikku rupanya - rupanya majoriti tidak menjawab langsung soalan yang kuberi pada hari semalam. Bayangkan! Kelas yang pertama bersikap demikian. Antara 34 orang pelajar cuma 7 orang sahaja yang menyiapkannya. Berbeza dengan kelas ketiga 6 Al Farabi.

Aku benar-benar rasa tertipu lantas kututup laptopku dan mencabut wayar LCD. ku duduk tanpa berkata apa-apa. Aku sebak menahan perasaan. Mujur aku cuma ada 1 waktu bersama mereka. Aku cuma memohon maaf pada anak didikku yang 7 orang yang menyiapkan kerjaku kerana disebabkan sikap rakan mereka yang lain, aku tidak mengajar mereka pada hari ini. Aku memang kesal. Kesal yang amat2. Andai kelas lain, aku tidak pelik dan terasa sangat tetapi ini kelas pertama, aset sekolah. Selama mengajar inilah kelas pertama yang bersikap demikian. Kalau 7 orang tidak menyiapkan kerja, bolehlah dimaafkan tapi ini tidak!! 7 orang sahaja yang menyiapkan kerja. Hatiku terluka, hancur luluh. Sia-sia ku korbankan waktu tidurku memikirkan bagaimana untuk memantapkan anak didikku tetapi anak didikku inikah balasan anda.


Saturday, March 26, 2011

Macam-macam hal

Minggu ini adalah hari yang paling sibuk di sekolahku. Apa tidaknya, selepas PKSR 1, pastinya semua data perlu dilengkapkan. Semua guru sibuk menjadi kerani pula. Masing-masing mengadap laptop. Mujurnya kerjaku semuanya telah dibereskan ketika cuti sekolah tempoh hari. Fuhh! lega! Kan dah kata, jangan amalkan sikap suka bertangguh kerja. Kerja bertangguh memang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri juga. Betulkan?

Seterusnya hari anugerah cemerlang akan diadakan pada 27hb Mac ini. Apa lagi, pastinya guru yg terlibat dengan hadiah sibuk pula membungkus hadiah-hadiah. Kulihat bilik guru tidak serupa bilik guru dah jadinya. Ermm~sabar je lah ye.

Dalam kesibukan ini, tetiba dimaklumkan YDP PIBG telah menjemput pakar motivasi ke sekolah untuk memberi motivasi kepada murid-murid tahun 5 dan 6, seterusnya kepada ibu bapa pula. Pakar motivasi yg dijemput bukan calang-calang orangnya. Siapa yang tidak kenal Tuan DR Tengku Asmadi. Penyampaiannya memang penuh bersemangat dan penuh bermakna serta boleh diamalkan.

Program ini telah diadakan pada hari Khamis bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Kemudian pada pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 1.00 adalah program untuk ibu-bapa pula. Malangnya, program bersama ibu bapa tidak dapat kuturut serta kerana aku terlibat dengan kelas tahun 5. Aku akur dengan tugasku lalu kubawa murid tahun 5 belajar Matematik di dalam makmal komputer seperti yang selalu kubuat pada setiap hari Khamis. Makmal komputer berada di satu sudut penjuru padang sekolah. Di sini memang seronok mengajar murid-murid sebab jauh daripada suasana yang bising. Aku juga turut mengadakan kelas tambahan untuk tahun 6 ku di sini bermula jam 1.40 hingga 3.40pm. Apabila berada di sini seolah-olah aku terputus dengan dunia luar.

Sebaik masuk ke dalam makmal, aku terus memasang laptopku dan menyambungkannya dengan wayar LCD. Aku memang suka mengajar meggunakan powerpoint. Apabila mengajar aku akan memberi fokus sepenuhnya kepada anak didikku. Tanpa disedari jam telah menunjukkan pukul 1.30 beerti anak didikku telah terlewat sepuluh minit untuk pulang. Sepatutnya mereka pulang pada pukuk 1.20pm. Selepas pesanan terakhir kuberi, kulepaskan anak didikku pulang dan aku terus duduk di dalam makmal untuk meneruskan kelas tambahanku yang akan bermula pada pukul 1.40pm.

Ketika menanti anak didik tahun 6 ku masuk ke makmal, aku mencatat isi-isi penting untuk disampaikan pada mereka. Ku pamerkan powerpoint berkaitan soalan-soalan yang telah kukumpulkan mengikut aras daripada senang kepada aras yang paling tinggi. Ku teliti semula soalan-soalan tersebut dan tetiba ku terlihat jam telah menunjukkan pukul 2.10 dan dalam hatiku berkata, 'ishh tak boleh jadi ni, mana anak didikku sorangpun tak masuk-masuk lagi. Nak belajar pukul berapa?' Lantas ku keluar dari makmal ingin memanggil anak didikku. Ku ternampak seorang anak didik tahun 5 ku lalu ku meminta dia memanggil abang-abang atau kakak-kakak tahun 6 masuk ke makmal segera. Selang 5 minit kemudian, berlarilah beberapa orang murid tahun 6 ke makmal mandapatkanku dan bertanya, 'ada apa teacher?' Ku tenung muka sorang-sorang lalu aku pula yang bertanya, 'Taknak belajar ke?' Anak didikku dengan sepontan menjawab, 'mana ada kelas hari ni teacher. Semua budak dah balik.'

Grrrrrr~aku terus menelefon kawanku dan baharulah kutahu sebenarnya kelas pada hari ini telah dibatalkan dengan arahan Guru Besar disebabkan ada beberapa orang ibu bapa yang hadir untuk program motivasi ingin membawa anak mereka pulang bersama mereka. Pengumuman telah dibuat tetapi aku memang tidak mendengarnya.
Buat anak didikku, sampai hati ye seorangpun tidak datang untuk memaklumkan bahawa kelas telah dibatalkan. Sedihnya hati bukan kepalang. Ku menutup semula laptopku, menutup aircond dan keluar dari makmal.

Keesokkannya, apabila tiba di sekolah beberapa orang murid tahun 6 memohon maaf padaku kerana pada sangkaan mereka aku telah tahu akan pembatalan kelas. Aku tahu bukan salah anak didiku tetapi aku sengaja pura-pura merajuk kononnya. Haha~seronok juga melihat anak didikku berpakat untuk memujukku. Apapun kutetap jual mahal.
Kebetulan aku pula sibuk dengan raptai hari anugerah cemerlang. Lantas memang aku tidak punya masa untuk melayan mereka. Tugasku sebagai ketua bahagian pengurusan peserta yang menerima hadiah memang memerlukan komitmen yang tinggi bersama dengan pengacara majlis dan pemberi hadiah agar perjalanan majlis berjalan dengan lancar.

Ketika raptai, persembahan daripada anak-anak prasekolah dan pendidikan khas memang mencuit hatiku. Aku rasa terhibur dengan persembahan mereka. Hilang penat seketika.
Kemudian dalam kesibukan ini, datang pula van milo. Ya Allah, bertambah gamatlah suasana persekitaran sekolahku. Murid-murid berasa seronok kerana mereka mendapat minuman percuma.

Selepas raptai dan diberi minuman percuma. ada sebahagian murid masuk ke kelas dan sebahagiannya membantu guru bahagian persediaan tempat menyediakan bilik untuk jamuan ibu bapa nanti. Owhh~ memang macam-macam hal. Para ustaz & ustazah pula sibuk melatih anak didik yang masuk bertanding bahagian tilawah, hafazan, bercerita, tulisan jawi dan nasyid.

Pagi tadi setibanya di sekolah, kulihat banyak kereta berada di perkarangan sekolah. Owhhh, patutpun rupa-rupanya pagi ini para ustaz & ustazah membawa anak didik yang mereka sibuk latih pada hari semalam ke pertandingan tilawah Al-Quran. Semoga berjayalah hendaknya ya. Maaf! kesibukan dengan tugas masing-masing, duduk sebumbungpun tak sempat bertanya khabar tentang pertandingan ini. Pn Goh pula sibuk dengan program BI dan dengarnya sekolah SKBS menjadi tuan rumah. Ohoho sibuk lagilah cikgu-cikgu ye.

Thursday, March 17, 2011

Peragut Jahanam

Sakitnya hatiku bila mendapat tahu emak diragut. Mujur emak tak cedera. Andainya apa-apa berlaku pada emak, memang tak selamatlah hidup kau wahai peragut.

Peragut Jahanam!! Hari ini engkau selamat tapi aku yakin, engkau takkan selamat selamanya. Ingat! Doa orang-oarang teraniaya biasanya mudah termakbul. Jadi awas peragut jahanam. Hidup awak takkan tenang. Duit emak yang engkau ragut tak seberapa tapi perbuatan engkau tiada siapapun yang akan memaafkannya.

Tuesday, March 8, 2011

Ok ke??

Hari ini sekembalinya dari sekolah, aku terpinga-pinga sendirian sebab tiada lagi kertas ujian murid yang hendak ku semak. Semuanya telah kubereskan. Ermm~ nak buat apa ye? Ohoho apa lagi, selepas menunaikan kewajipan ku mulalah melayari internet dan perkara utama kulakukan ialah melawati blogku ini.

Owhh! hari ini baru ku terperasan, ramai juga yg meninggalkan sesuatu di ruangan chitchat ku. Si Auni, anak didikku komen, 'ramainya org putih yang lawat blog tcer'..A'ah ye lah Auni. Sebetulnya tcerpun tak perasan.

Caroline, Anne, Mira, sally antara yang ku ingat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawati blogku ini. Eh, betul ke best membaca postku ini? Kalau betul bagai dikata, terima kasih sekali lagi.

Sebenarnya memang hobiku suka menulis. Ok ke tak ok ke..haha belasah aja. Biasanya sesuatu yang lahir daripada pengalaman dan naluriku..akan kuluahkan seperti yang kalian baca. Itulah diriku.

Ok ke????

Friday, March 4, 2011

Suara Oh suara

Setiap tahun aku pasti menghadapi masalah suara. Suaraku sering jap ada jap takde. kalau adapun bila bersuara mengalahkan penyanyi Ella.

Masih ku ingat 3 tahun yang lalu setiap kali bila ku hendak melangkah masuk ke kelas, di atas meja telah tersedia beberapa botol air asam jawa. Agaknya kesian sungguh mereka terhadap cikgunya ini. Terharu sungguh aku dibuatnya. Aku tidak pernah meminta tetapi itulah penghargaan anak didikku terhadap diriku.

Peliknya, di sekolah, aku seorang sahaja yang sering mengalami masalah sakit tekak. Kenapa? Risaunya hati bukan kepalang apabila masalah ini melanda. Rakan-rakan menyarankan agar aku pergi berjumpa dengan doktor tapi ermm lambat lagilah. Aku rela begini daripada berjumpa dengan doktor.

Suara oh suara. Bilakah suaraku akan pulih seperti sedia kala?
Andaikata sesiapa yang ada petua untuk mengatasi masalah ini, sudi-sudikan lah ye.

Wednesday, March 2, 2011

Bunga-bunga kemarahan

Apa saja yang diamanahkan kepada kita merupakan tanggungjawab kita. Yup! memang tanggungjawab kita tapi peliknya mengapa sesetengah orang tidak bertanggungjawab?
Apakah yang harus diperlakukan kepada orang-orang yang sedemikian rupa?

Andainya tidak bertanggungjawab tidak menyusahkan orang lain, pastinya tidak ada sesiapa yang mempersoalkannya tetapi ini tidak!! Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah orang ini telah menyusahkan orang lain! Senang cerita, menyusahkan diriku. Ini boleh memekarkan bunga-bunga kemarahan.

Uishhhh ~lepas geram niii. Ya, memang lepas geram. Selama kubergelar guru, aku tidak suka melengah-lengahkan kerja yang diberi. Kerjaku up to date. Namun kini kerjaku banyak yang tergendala apabila melibatkan orang lain. Kerjaku banyak yang tertangguh akibat daripada orang-orang yang sedemikian rupa. Grrrrrrrr....geram yang amat sangat.

Diriku juga pernah muda, pernah miliki anak kecil, ada suami, perlu mengemas rumah tapi aku tidak pernah memberi alasan ini apabila bekerja. Bekerja adalah pilihan sendiri dan kerja itu merupakan ibadah yang dibayar gaji lantas tugas dan tanggungjawab perlu dilaksanakan by hook or by crook. Bukan begitu? Namun kini sedihnya, sesetengah guru muda mengambil remeh-temeh akan kerja-kerja yang diamanahkan. Tanpa rasa bersalah memberiku menyemak kertas soalan sesuka rasa sedangkan tarikh yang ditetapkan seminggu telah berlalu.

Bayangkan ujian PKSR 1 akan dilaksanakan pada minggu hadapan, due date penyerahan kertas soalan telah ditetapkan, malangnya ada yang ambil mudah baru menyerahkannya pada hari semalam dan juga hari ini kepada ketua Panitia. Apa? ingatkan ketua panitia tidak perlu ambil masa untuk menyemak soalan-soalan tersebut? Kelewatan mereka inilah menyebabkan aku pula terpaksa berkorban masaku, balik lewat untuk menyemak kertas mereka. Gara-gara mereka menyebabkan perjalanan kerjaku yang lain tergendala. Ya Allah, kesabaranku akhirnya tergugat juga. Ini bukannya kali pertama.
Sudahlah lewat, banyak pula kesalahan yang perlu dibaiki. Bagiku sepatutnya kerja menjadi perfect sebab begitu lama masa yang diambil tapi rupanya anggapanku meleset. Nampak sangat kerja hanya melepaskan batuk di tangga. Sedih sungguh aku akan sikap ahli panitiaku.

Kalau anak didik tidak buat kerja atau mendengar arahan, tau pula marah sedangkan diri sendiri....?????????

Ku ingatkan pada usia hampir setengah abad ini akan lahirlah bunga-bunga cinta di mana jua berada bagi mengakhiri sisa-sisa hidup yang ada tapi sebaliknya yang berlaku. Bunga-bunga kemarahan pula yang muncul. Kenapa????