Calendar


SEMOGA HARI - HARI MENDATANG LEBIH BERMAKNA DALAM HIDUP KITA

Saturday, March 26, 2011

Macam-macam hal

Minggu ini adalah hari yang paling sibuk di sekolahku. Apa tidaknya, selepas PKSR 1, pastinya semua data perlu dilengkapkan. Semua guru sibuk menjadi kerani pula. Masing-masing mengadap laptop. Mujurnya kerjaku semuanya telah dibereskan ketika cuti sekolah tempoh hari. Fuhh! lega! Kan dah kata, jangan amalkan sikap suka bertangguh kerja. Kerja bertangguh memang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri juga. Betulkan?

Seterusnya hari anugerah cemerlang akan diadakan pada 27hb Mac ini. Apa lagi, pastinya guru yg terlibat dengan hadiah sibuk pula membungkus hadiah-hadiah. Kulihat bilik guru tidak serupa bilik guru dah jadinya. Ermm~sabar je lah ye.

Dalam kesibukan ini, tetiba dimaklumkan YDP PIBG telah menjemput pakar motivasi ke sekolah untuk memberi motivasi kepada murid-murid tahun 5 dan 6, seterusnya kepada ibu bapa pula. Pakar motivasi yg dijemput bukan calang-calang orangnya. Siapa yang tidak kenal Tuan DR Tengku Asmadi. Penyampaiannya memang penuh bersemangat dan penuh bermakna serta boleh diamalkan.

Program ini telah diadakan pada hari Khamis bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Kemudian pada pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 1.00 adalah program untuk ibu-bapa pula. Malangnya, program bersama ibu bapa tidak dapat kuturut serta kerana aku terlibat dengan kelas tahun 5. Aku akur dengan tugasku lalu kubawa murid tahun 5 belajar Matematik di dalam makmal komputer seperti yang selalu kubuat pada setiap hari Khamis. Makmal komputer berada di satu sudut penjuru padang sekolah. Di sini memang seronok mengajar murid-murid sebab jauh daripada suasana yang bising. Aku juga turut mengadakan kelas tambahan untuk tahun 6 ku di sini bermula jam 1.40 hingga 3.40pm. Apabila berada di sini seolah-olah aku terputus dengan dunia luar.

Sebaik masuk ke dalam makmal, aku terus memasang laptopku dan menyambungkannya dengan wayar LCD. Aku memang suka mengajar meggunakan powerpoint. Apabila mengajar aku akan memberi fokus sepenuhnya kepada anak didikku. Tanpa disedari jam telah menunjukkan pukul 1.30 beerti anak didikku telah terlewat sepuluh minit untuk pulang. Sepatutnya mereka pulang pada pukuk 1.20pm. Selepas pesanan terakhir kuberi, kulepaskan anak didikku pulang dan aku terus duduk di dalam makmal untuk meneruskan kelas tambahanku yang akan bermula pada pukul 1.40pm.

Ketika menanti anak didik tahun 6 ku masuk ke makmal, aku mencatat isi-isi penting untuk disampaikan pada mereka. Ku pamerkan powerpoint berkaitan soalan-soalan yang telah kukumpulkan mengikut aras daripada senang kepada aras yang paling tinggi. Ku teliti semula soalan-soalan tersebut dan tetiba ku terlihat jam telah menunjukkan pukul 2.10 dan dalam hatiku berkata, 'ishh tak boleh jadi ni, mana anak didikku sorangpun tak masuk-masuk lagi. Nak belajar pukul berapa?' Lantas ku keluar dari makmal ingin memanggil anak didikku. Ku ternampak seorang anak didik tahun 5 ku lalu ku meminta dia memanggil abang-abang atau kakak-kakak tahun 6 masuk ke makmal segera. Selang 5 minit kemudian, berlarilah beberapa orang murid tahun 6 ke makmal mandapatkanku dan bertanya, 'ada apa teacher?' Ku tenung muka sorang-sorang lalu aku pula yang bertanya, 'Taknak belajar ke?' Anak didikku dengan sepontan menjawab, 'mana ada kelas hari ni teacher. Semua budak dah balik.'

Grrrrrr~aku terus menelefon kawanku dan baharulah kutahu sebenarnya kelas pada hari ini telah dibatalkan dengan arahan Guru Besar disebabkan ada beberapa orang ibu bapa yang hadir untuk program motivasi ingin membawa anak mereka pulang bersama mereka. Pengumuman telah dibuat tetapi aku memang tidak mendengarnya.
Buat anak didikku, sampai hati ye seorangpun tidak datang untuk memaklumkan bahawa kelas telah dibatalkan. Sedihnya hati bukan kepalang. Ku menutup semula laptopku, menutup aircond dan keluar dari makmal.

Keesokkannya, apabila tiba di sekolah beberapa orang murid tahun 6 memohon maaf padaku kerana pada sangkaan mereka aku telah tahu akan pembatalan kelas. Aku tahu bukan salah anak didiku tetapi aku sengaja pura-pura merajuk kononnya. Haha~seronok juga melihat anak didikku berpakat untuk memujukku. Apapun kutetap jual mahal.
Kebetulan aku pula sibuk dengan raptai hari anugerah cemerlang. Lantas memang aku tidak punya masa untuk melayan mereka. Tugasku sebagai ketua bahagian pengurusan peserta yang menerima hadiah memang memerlukan komitmen yang tinggi bersama dengan pengacara majlis dan pemberi hadiah agar perjalanan majlis berjalan dengan lancar.

Ketika raptai, persembahan daripada anak-anak prasekolah dan pendidikan khas memang mencuit hatiku. Aku rasa terhibur dengan persembahan mereka. Hilang penat seketika.
Kemudian dalam kesibukan ini, datang pula van milo. Ya Allah, bertambah gamatlah suasana persekitaran sekolahku. Murid-murid berasa seronok kerana mereka mendapat minuman percuma.

Selepas raptai dan diberi minuman percuma. ada sebahagian murid masuk ke kelas dan sebahagiannya membantu guru bahagian persediaan tempat menyediakan bilik untuk jamuan ibu bapa nanti. Owhh~ memang macam-macam hal. Para ustaz & ustazah pula sibuk melatih anak didik yang masuk bertanding bahagian tilawah, hafazan, bercerita, tulisan jawi dan nasyid.

Pagi tadi setibanya di sekolah, kulihat banyak kereta berada di perkarangan sekolah. Owhhh, patutpun rupa-rupanya pagi ini para ustaz & ustazah membawa anak didik yang mereka sibuk latih pada hari semalam ke pertandingan tilawah Al-Quran. Semoga berjayalah hendaknya ya. Maaf! kesibukan dengan tugas masing-masing, duduk sebumbungpun tak sempat bertanya khabar tentang pertandingan ini. Pn Goh pula sibuk dengan program BI dan dengarnya sekolah SKBS menjadi tuan rumah. Ohoho sibuk lagilah cikgu-cikgu ye.

No comments:

Post a Comment